"Ya Allah, Jangan Kau Condongkan Kami Kepada Kesesatan Setelah Engkau Memberikan Petunjuk dan Hidayah Mu Kepada Kami"- Al-imran : 8

Pages

"Kain Putih" Itu Perlu Terus Dicorakkan

Dalam tempoh masa setahun ini, banyak perkara dan siri-siri hidup yang dilalui mengajar diri ini mengenai nilai "Sehelai Kain Putih". Sehelai "Kain Putih" yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan suci dan bersih. "Kain Putih" itu perlu dicorakkan dan dilakarkan dengan sebaik-baik dan seindahnya. Ia perlu dijaga dan dilindungi serta diberikan pengajaran dunia dan akhirat yang secukupnya. "Kain Putih" ini ialah anak-anak atau zuriat-zuriat yang Allah SWT amanahkan kepada kedua ibu dan bapanya untuk dicorakkan dengan sebaik-baiknya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari)


Menurut Imam Al-Ghazali pula, "anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap". Ibu bapalah yang akan membentuk dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Jelas menunjukkan asas kepada pendidikan anak-anak adalah ibu bapa. Sejak dalam kandungan ibu bapa sepatutnya memulakan pendidikan asas dan awal ini. Dan apa yang pasti pendidikan agama yang secukupnya yakni Islam lah yang menjamin anak-anak itu cemerlang di dunia dan akhirat seiring dengan pendidikan akademik. Ibu bapalah yang akan menentukan sama ada anak-anaknya menjadi atau tidak.

Jika dilihat pada zaman dan era ini, sangat berleluasa gejala-gejala yang tidak sihat di kalangan remaja. Gejala-gejala ini semakin menyerang dan menyerap di kalangan mereka terutama sekali remaja yang bergelar muslim yakni beragama Islam. Kebanyakan mereka tidak lagi mengamalkan Islam secara menyeluruh dan semakin dipenuhi dengan dunia khayalan yang menghiburkan dan menghanyutkan mereka. Inilah dunia remaja masa kini. Dimana silapnya? Dimana salahnya? Itu lah persoalan yang masih bermain dan semakin ligat di dalam fikiran ini. Apa peranan kita selaku kakak, abang, makcik, pakcik atau orang sekeliling yang saban hari melihat dan mendengar perkara ini?

Sampai saat ini diri ini masih tercari-cari jawapan itu. Adakah sehelai "Kain Putih" tadi yang asalnya dilahirkan dalam keadaan suci dan murni itu terpaksa dibiarkan, dikotorkan dan dicorakkan dengan perkara-perkara yang negatif sekaligus menjadikan mereka jauh dari agama Islam? Pengalaman setahun inilah yang banyak mengajar diri ini erti dan nilai sehelai "Kain Putih" itu. Hati ini terus mendesak, dan terus mencari untuk menyelami, mendalami dan menghargai "Kain Putih" ini.


Dalam tempoh setahun inilah, alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada diri ini dan sahabat-sahabat untuk beberapa kali bersama adik-adik yang telah terpilih oleh Allah SWT, yang bersedia berkongsi, bercerita, menerima serta memberi dan pastinya mereka telah pulang bersama suatu pengalaman baru yang utuh di dalam hati masing-masing bagi mencapai redha Allah di dunia dan akhirat. Insyaallah. Adik-adik inilah, yang diri ini ibaratkan mereka seperti sehelai "Kain Putih", dimana hati mereka masih boleh didekati, masih boleh dibentuk, masih boleh menerima. Alhamdulillah. Diri ini sentiasa teringat-ingat tangisan keinsafan mereka pada malam itu, terdengar-dengar lafaz janji mereka pada siang itu, terbayang gelak tawa mereka pada petang itu dan segalanya masih ligat berputar di dalam memori ini.


Adik-adik ini, remaja-remaja ini serta anak-anak ini sebenarnya sentiasa inginkan kasih-sayang, inginkan perhatian, inginkan ilmu-ilmu agama, inginkan motivasi-motivasi, inginkan perkongsian berhikmah, inginkan suntikan semangat. Hati mereka sangat lembut, sangat rapuh, mudah terusik, masih mudah dibentuk. Tetapi mereka perlukan sokongan dari orang sekeliling. Kita selagi termampu selaku kakak, abang, ibu atau bapa perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini. Selagimana peluang itu terbentang, bersama-samalah kita membantu untuk mencorakkan sehelai "Kain Putih" ini. Sesungguhnya "Kain Putih" ini amat berharga.

Corakkan mereka sepenuhnya dengan Islam, sesungguhnya Islam lah penyelesaian di atas setiap pemasalahan yang berlaku. Walau mungkin pada saat ini hati mereka masih keras, mungkin masih sukar untuk menerima kebaikan, mungkin masih tetap dengan pendirian yang keras itu, tetapi yakinlah jauh di sudut hati mereka turut meronta, turut resah mencari kebenaranNYA, kerana itu adalah fitrah seorang hamba Allah yang lemah dan fitrah sebagai manusia yang sentiasa inginkan kebaikan. Islam ada segalanya, kembalilah kepada Islam dalam setiap perkara, kerana Islam itu dari Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di atas segalanya. Allah SWT berfirman dalam:

Surah al-Imran : 19
"Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai Allah ialah Islam"

Buat para ibu-bapa terapkan asas Islam yang kukuh di kalangan anak-anak. Mereka adalah permata, yang perlu dicorakkan seindahnya bertunjangkan Al-Quran dan As-sunnah. Perkasakan institusi kekeluargaan, kerana disitulah bermula segalanya, segala pendidikan awal buat "Kain-kain Putih" ini. Buat sahabat-sahabatku selagi mana mampu, sama-sama kita membantu untuk mencorakkan adik-adik kita dengan sebaiknya berpaksikan Islam.


Sahabat-sahabatku, teruskan usaha kita, saling kuat-
memperkuat sesama kita, saling ingat-memperingati sesama kita,
saling berkasih-sayang sesama kita dalam menggalas tanggungjawab dan taklifan Allah SWT ini. Perjalanan kita masih jauh dan panjang, pelbagai mehnah dan ujian yang pasti menanti kita di hadapan. Banyak lagi yang perlu kita pelajari. Kita semua akan terus diuji dan diuji, dengan kesenangan, dengan kesusahan dan pelbagai lagi. Moga Allah SWT terus kuatkan hati kita dalam membawa taklifan ini. Apa yang kita sama-sama lakukan terhadap "Kain Putih" ini adalah sebahagian dari usaha ke arah mencapai redhaNya. Moga dengan usaha sedikit ini "Kain Putih" ini dapat kita hiasi kembali melakar keindahanNya. Insyaallah. Terima kasih sahabat-sahabatku kerana sentiasa bersama diri ini.


Wallahualam.

link blog : http://nisagp.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

"Hidup Ini segalanya Indah, Dengki dan Dendam Kesumat Musnah, Biar Keikhlasan Berbicara di Dada Hati Luas Saujana"