Tuesday, December 8, 2009

KEAHLIAN ALUMNI PASTI MALAYSIA




Salamalaik sahabat-sahabat semua..


Alhamdulillah dengan izinnya, Alumni PASTI Malaysia telah ditubuhkan pada 5 Oktober 2009 di Hotel Concorde, KLIA dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat pada 30 Oktober 2009 di Kelantan bersempena Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia.

Oleh itu, kami, AJK Penaja Alumni PASTI Malaysia dalam usaha untuk mengumpul 'database' dan keahlian bagi bekas-bekas murid tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dari seluruh negara.

Kami mengalu-alukan sahabat-sahabat semua untuk memberikan maklumat kepada kami seperti :
i) Nama Penuh

ii) No IC

iii) Negeri Asal

iv) Email

v) No Phone

Maklumat ini diperlukan untuk Ijtima Alumni PASTI Malaysia yang dalam perancangan akan diadakan pada Jun 2010. Insyaallah.

Maklumat ini bolehlah di email kan ke email alumipasti@yahoo.com atau terus ke blogspot ini.

Diharapkan dapat menyebarkan mengenai keahlian Alumni PASTI Malaysia dan dipanjangkan kepada sahabat-sahabat lain. Segala kerjasama amatlah dihargai.
Maklumat lanjut mengenai kami, layari blogspot : www.alumnipastimalaysia.blogspot.com
Jazakallah. Wallahualam.
Wakil AJK Penaja ALUMNI Pasti Malaysia.

Friday, October 30, 2009

Bukan Semua Yang Kita Rancang Menjadi Milik Kita

Salamalaik..

Salam jumaat buat semua..moga2 hari yang penuh barakah ini turut memberi kesan kepada perjalanan seharian hidup kita pada hari ini. Insyaallah. "Bukan semua yang kita idamkan atau rancangkan akan menjadi milik kita". Saya rasa semua mengerti maksud secara umum apa yang cuba saya ingin kongsikan disini.
.
Allah SWT telah mengaturkan segala yang terbaik buat kita, rezeki, jodoh, ajal, semuanya Allah tetapkan dan tuliskan semasa kita berada di alam rahim lagi. Sebagai hamba kita kene akur dan redha di atas setiap yang berlaku setelah kita puas berusaha dan seterusnya bertawakal.
.
Mungkin pada saat sesuatu yang mungkin kita tidak rancang dan jangka itu berlaku, kita tidak bersedia menghadapinya. Tetapi yakinlah pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik sesuatu yang berlaku. Allah mengambil sesuatu yang pastinya bukan milik kita, sebab nak bagi kita hak kita yang sebenarnya dan pastinya itulah yang terbaik buat kita.
.
Membuat keputusan mengenai perjalanan hidup seharian bukannya mudah seperti yang di sangka.Lagi2 keputusan yang besar dan bertembung dari sudut keutamaannya. Kita merasakan kedua2nya penting, mana satu yang perlu kita dahulukan?? Inilah kebiasaan yang menjadi masalah untuk kita putuskan. Sebab itu, kita umat Islam sentiasa digalakkan untuk meneruskan Solat Istikharah, bukan sekadar untuk Jodoh, tetapi setiap masa dalam hidup kita, memerlukan kita memutuskan apa tindakan yang perlu diambil.
.
Setelah kita menimbang tara keutamaan kedua2nya seiring dengan doa dan munajat kita kepada pencipta kita, yakinlah dengan keputusan yang dibuat. Allah lebih tahu semuanya. "Faiza 'Azamta Fatawakkal 'Alalllah". Mungkin keputusan itu perit buat kita, tapi Insyaallah itulah ketenangan buat kita.
.
"Innallahama'ana".. adakah setiap masa kita yakin dengan kalimah ini. Senang untuk disebut tetapi perlukan mujahdah yang tinggi untuk kita plikasikan sepenuhnya ke dalam diri kita. Setiap masa kita bukan bersendirian kerana setiap masa Allah sentiasa bersama kita. Berdoalah kepadanya selalu, bermonologlah dengannya setiap masa kerana Allah sentiasa mendengar rintihan hamba2nya. Keyakinan ini juga sangat berkait rapat dengan aqidah islam yang menjadi pegangan utama setiap umat Islam. Al-Baqarah : 152 " Ingatlah kepadaKu, maka Aku akan ingat kepadaMu, bersyukurlah kepadaku, jangan kamu ingkar kepadaKu"
.
**Buat sahabat2 yang dalam perjalanan ke Kelantan, moga Allah rahmati dan lindungi kalian setiap masa. Maaf terpaksa membuat keputusan yang sangat sukar untuk diputuskan di saat2 terakhir. Doaku sentiasa bersama kalian. Moga Allah kuatkan hati hambamu ini..**

Wednesday, October 14, 2009

Kembalikan PadaNya Sentiasa

Salam alaik..
.
Hampir sedar ataupun tidak, Syawal semakin menunggalkan kita. Setelah berakhirnya Ramadhan yang pasti banyak memberi kesan mendalam buat diri masing2, Syawal menjelma dengan kemeriahan ziarah menziarahi sesama kita. Hampir sebulan itu jugalah diri ini tidak berkesempatan mencoretkan sesuatu di sini. Mungkin kah benar-benar sibuk ataupun kesibukan yang sengaja diciptakan?, wallahualam. :)
.
Dalam tempoh penyepian yang mungkin sengaja dicipta ini, diri ini telah dihidangkan dengan pelbagai asam garam kehidupan yang pastinya datang dari Allah SWT yang Maha Mengetahui di atas segalanya. Satu demi satu lipatan hidup yang Allah tunjukkan dan aturkan buat setiap hambanya dibentangkan, pastinya semua itu lebih mematangkan kita untuk lebih kuat dan tabah menghadapi liku-liku kehidupan.
.
Mungkin ada terdetik dalam hati masing2, "kenapa aku berada di sini sekarang?" "buat apa aku untuk terus hidup di sini?" . Allah sudah aturkan yang terbaik untuk kita, walau di mana Allah campakkan kita pada ketika ini, teruslah menumpahkan bakti sepenuh jiwa dan raga kita kepada bumi Allah ini, kepada manusia yang berada di sekelilingnya dan yang paling utama kepada Islam, agama yang sememangnya benar dan suci ini.
.
Mungkin juga hati ini pernah terdetik, "banyak nye kerja yg masih tertangguh, bole ke aku ni?" "mampu ke aku buat semua ni?" "kenapa aku, bukan org lain?". Dalam surah al-Baqarah : 284, jelas Allah ktunjukkan, "Setiap org diberi mengikut kemampuannya". Yakinlah, semua itu boleh di atasi, tenangkan hati, buat yg terbaik dlm setiap perkara atau kerja yang mendatang kepada kita. Ini fitrah alam, fitrah seorang hamba Allah yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah. Kita tidak akan lari atau terlepas dengan semua ni.
.
Masa yang Allah kurniakan untuk setiap hambaNya pasti datang dari DIA juga, oleh itu kembalikan semuanya kepada pencipta kita, berdoalah agar diberi dan di aturkan yg terbaik untuk kita. Jika waktu dan masa yang Allah kurniakan ini kita serahkan sepenuhnya pada Nya serta Islam, insyaallah pasti ada yang lebih baik menanti kita kelak. Kembalikan ia!! Barakallahu fik..
wallahualam

Tuesday, September 8, 2009

Pengalaman dan Pemandangan Baru Membawa Seribu Erti -PAKAT 09-


Pengalaman bersama-sama sahabat Nisa' pada 5 - 6 September yang lepas membawa pengalaman baru buat diri ini. Menziarah dari satu rumah ke rumah keluarga angkat sahabat2 yang lain menyedarkan bahawa diri ini masih kurang tarbiyah. Subhanallah.

Melihat kehidupan dan rutin harian keluarga angkat ini, terdetik di hati dan benak fikiran ini, walaupun mereka bukanlah senang dari sudut kewangan tetapi mereka tetap bahagia dan gembira, kerana mereka menghidupkan ruh kasih sayang dalam kekeluargaan.

Apabila berborak dan berbual dengan mereka, kita merasakan kita adalah sebahagian dari ahli keluarga mereka. Mereka sangat menghargai kehadiran kami bersama mereka selama sehari semalaman walaupun mungkin dari sudut persediaan menerima tetamu ala kadar sahaja disebabkan keadaan keluarga dan rumah masing-masing yang kurang mengizinkan.



Suasana kehidupan di kampung ini lebih kepada kehidupan nelayan, kerana kebanyakan dari mereka mencari rezeki di laut yang terbentang luas. Kami berpeluang menaiki bot untuk menyusuri laluan para bapa mencari rezeki setelah bertahun lama di sini semata-mata untuk menampung kehidupan keluarga masing-masing. Sungguh besar pengorbanan mu yang bergelar suami dan ayah. Moga diberkati kehidupan mu di dunia dan akhirat.Insyaallah.


Rezeki Allah ini amat luas dan ada di mana-mana. Yang penting kita mesti berusaha dan terus berusaha seiring dengan doa dan tawakal. Jangan cepat berputus asa seandai merasa semuanya sudah tidak bermakna lagi. Allah sentiasa menguji umatnya dengan pelbagai nikmat kesenangan dan pelbagai dugaan dan cabaran kesusahan.

Selagi jasad dikandung badan, teruslah meneroka ke seluruh alam ciptaan Allah ini. Sesungguhnya terdapat banyak hikmah yang pasti kita akan peroleh dari penglaman dan pemandangan baru. Teruskan taklifan yang Allah pertanggungjawabkan ke atas kita seiring dengan sahabat yang pasti akan sentiasa dan saling ingat memperingati.

Allah menurunkan rezeki, mengawal putaran alam ini, mencipta segala keindahan dunia dan pelbagai lagi ciptaan Allah untuk kita berfikir mengenai kebesaranNYA. Maka jangan sekali-kali kita lalai dengan nikmat yang Allah kurniakan untuk kita lebih beriman kepadaNya. Pengalaman harian hidup itu amat bererti jika kita pandai menghayati dan menafsirnya dengan baik.

Dalam Surah Yunus : 31


"Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab, "Allah", Maka katakanlah: "Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya"
Wallahualam


Link blog :
nuruluyunahmad.blogspot.com
tinta-mutiara.blogspot.com
nisagp.blogspot.com

Thursday, August 27, 2009

Bulan Ramadhan..bulan tarbiyyah untuk semua

Salamalaik.. Salam Ramadhan..

Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan nikmat umur dan nikmat sihat sehingga saat ini, 6 Ramadhan 1430H. Sedar atau pun tidak sudah hampir seminggu umat Islam di seluruh dunia menjalankan ibadat puasa. Setiap hari kalau kita lihat, semua orang akan meneruskan rutin harian masing-masing, samada sebagai pekerja, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai ibu-bapa dan pelbagai lagi tangungjawab yang digalas oleh manusia. Sama-samalah kita terus meningkatkan amal ibadat kita di Bulan Ramadhan kali ini.

Melihat kepada rutin harian ini, lagi-lagi di dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini, banyak sangat yang memberi kesan dan muhasabah kepada diri sendiri. 1 Ramadhan baru ini, saya berpeluang menyambutnya di rumah (Kuantan), dan pada pagi itu lah kami di kejutkan dengan berita pembedahan yang perlu dilakukan dengan segera ke atas bapa saudara kerana mengalami komplikasi di ususnya. Sejak itu kami berulang ke Hospital Tengku Ampuan Hajjah Afzan (HTAA) di Kuantan. Ramai sanak-saudara yang datang ke kuantan untuk menziarahi bapa saudara yang telah melalui tarbiyyah pembedahan di 1 Ramadhan, kini beliau masih lagi di ICU dan mendapat jagaan penuh oleh pihak hospital.

Berulang-alik ke hospital selama beberapa hari amat lah membuatkan saya berfikir dan memuhasabahkan diri. Allah SWT berhak memberi segala dan seluruh nikmat dunia kepada umat manusia dan hamba-hambaNya yang terpilih, tetapi Allah SWT juga berhak menarik segala nikmat yang dikurniakan hanya dengan kadar sekelip mata. Melihat situasi di hospital bermula dari tingkat 1 hingga tingkat 8, subhanallah, betapa ramainya umat manusia diuji dengan nikmat kesihatan. Rupa-rupanya di saat kita mungkin bergembira atau mungkin juga bersedih dengan segala yang kita lalui di luar, tetap ada saudara seagama dan sebangsa yang yang lebih menanggung ujian dari Alah SWT ke atas dirinya daripada kita yang mungkin alpa dengan nikmat yang Allah kurniakan selama ini.

Berpeluang masuk ke wad ICU, semakin menyebabkan diri ini pilu, ramai umat manusia yang terlantar di atas katil-katil pesakit. Badan mereka dipenuhi dengan pelbagai wayar, subhanallah, tarbiyyah Ramadhan untuk mereka. Pastinya pada Ramadhan yang lepas mungkin mereka seperti kita pada waktu ini, masih menjalankan rutin harian seperti biasa, bekerja, belajar, bersahur dan berbuka. Tetapi Allah telah uji mereka, pada saat ini Allah menguji nikmat kesenangan dan kesihatan mereka. Bagaimanakah keadaan kita pada Ramadhan yang akan datang? dimanakah kita pada saat itu?sempatkah kita merasai Ramadhan pada waktu itu? Mari kita tingkatkan amal ibadat dan menganggap inilah Ramadhan terakhir kita.

Wabak H1N1 yang kini melanda umat manusia di seluruh dunia, amatlah merisaukan kita. Apabila berada di HTAA ternyata sangat banyak kes yang telah dilaporkan dan sangat ramai yang sedang menjalani kuarantin di hospital. Tingkat 2 di HTAA adalah ICU bagi pesakit positif H1N1. Berbual dengan "nurse-nurse" di HTAA semakin menggerunkan hati, tahap kritikal rupanya di Kuantan mengenai penularan wabak ini. Benarkah wabak ini suatu bala untuk kita?
Melihat wajah emak saudara dan sepupu-sepupu yang suami serta ayah mereka terlantar kaku di wad ICU, sangatlah meruntun hati ini. Suami atau ayah tempat pergantungan dan pelindungan kita selepas Allah swt, kini terlantar, tidak boleh berbuat apa-apa. Suami atau ayah yang mengorbankan seluruh keringat mereka demi mencari rezeki yang halal buat keluarga kini terlantar, bagaimana ya perasaan mereka saat itu. Allah menguji mereka untuk menjadikan emak saudaraku serta anak-anaknya lebih cekal dan kuat pada saat ini, ya sesungguhnya mereka mampu melalui tarbiyyah ini, sebab itu Allah uji mereka. (Al-Baqarah : 286). Jika sesuatu seperti itu berlaku ke atas diriku?sesungguhnya diriku tidak mampu.

Akhirnya dengan hati yang sangat berat, pada pagi 4 Ramadhan , saya terpaksa mengambil keputusan untuk pulang juga ke Skudai, meneruskan tanggungjawab di sini. Masih tergiang kata-kata ibu, sewaktu menghantar saya ke Terminal Kuantan pada tengahari 4 Ramadhan lalu, "Kalau kita diuji pada saat ini, adakah kita benar-benar mampu hadapi ujian tersebut?".Moga Allah terus beri kekuatan bagi umat manusia yang diuji dengan pelbagai bentuk tarbiyyah Ramadhan di bulan yang penuh mulia ini. Insyaallah. Pastinya yang saya lihat dan rasa sepanjang 4 hari berpuasa ini hanya sedikit Tarbiyyah Ramadhan yang Allah turunkan untuk hamba-hambaNya. Pasti ramai lagi umat manusia di tempat lain yang diuji dengan lebih hebat lagi.

Mungkin saat ini, kita merasakan kitalah paling hebat diuji oleh Allah SWT, diuji dengan kewangan, dengan kerjaya, dengan akademik, dengan keluarga, dengan tanggungjawab, dengan perasaan dan pelbagai lagi, tetapi bangkitlah saudara seislamku, bangkitalah umat manusia, ramai lagi yang kita tidak tahu kondisi mereka yang diuji dengan lebih hebat lagi. Allah uji kita bermakna Allah sayang kita. Allah nak kita terus berusaha, terus mengadu dan menyerahkan sepenuh jiwa raga kita kepadaNYA.

Sesampainya saya di Skudai, kami berbuka puasa di Jusco. Subhanallah ramai juga umat manusia disini, membeli-belah rupanya. Lagu raya sudah dipasang, bagaimanalah umat Islam tak "excited" mempersiapkan diri dan keluarga untuk menyambut 1 Syawal? saya berbincang dengan sahabat saya ketika itu, Ramadhan ke-4 lagi sudah dipasang lagu raya, sudah dipromosikan dengan hebatnya barangan-barangan keperluan Raya, bagaimana umat Islam nak menumpukan untuk meningkatkan ibadat kepada Allah SWT? Bagaimanakah keadaan umat Islam pada saat ini, untuk menghabiskan bulan Ramadhan ini dengan rasa yang penuh bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada mereka hingga saat ini?

"Ya Allah moga engkau kuatkan hati kami untuk beramal ibadat di bulan Ramadhan ini" Sesungguhnya Allah akan menguji dan terus menguji umatnya, termasuklah insan yang sedang menulis ini.
Wallahualam.

Wednesday, July 29, 2009

Makananlah dari sumber yang baik-baik

Makan dan minum adalah fitrah semula jadi manusia. Sejak di alam janin, saat mengenal dunia dan sehinggalah ke penghujung hayat seorang manusia, memerlukan makanan dan minuman bagi meneruskan hidup ini. Inilah salah satu nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada manusia. Tetapi seandainya makanan itu diambil dalam kuantiti yang berlebihan atau berkurangan ia akan mengundang penyakit kepada manusia.

Oleh itu sentiasalah bersifat memilih dalam permakanan. Memilih ini, bukan maksudnya terlampau memilih jenis makanan yang hendak dimakan, tetapi memilih di sini lebih peka dari mana sumbernya, cara pemprosesannya, kandungan didalamnya agar tiada masalah halal atau haram dan syubhah.

"Wahai sekalian manusia makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langka-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu" (Al-Baqarah : 168)

Hendaklah kita jelas di sini, makan dan minum bukan hanya sekadar tabiat manusia, malah ia adalah ibadat. Makanan dari sumber yang halal akan diredhai Allah SWT dan mendapat ganjaran dariNYA, manakala makanan yang sumbernya haram boleh memberi kesan kepadan amalan dan rutin harian manusia, malah boleh menyebabkan doa tidak diteima atau sukar dimakbulkan oleh Allah SWT.

Nabi SAW bersabda:
"Seorang lelaki musafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu, dia menadahkan tangannya kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya." (HR Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Sama-sama kita muhasabah diri kita, dari mana sumber makanan dan minuman yang telah kita makan selama ini dan kini telah sebati menjadi darah daging kita. Segala ibadat dan doa kita adakah diterima dan didengari oleh Allah SWT? Segalanya berpunca dari sumber makanan yang kita makan dan menjadi darah daging kita. Dan ia akan mengalir kepada generasi-generasi kita akan datang. Maka peliharalah dan bersifat memilihlah dalam menentukan jenis dan sumber permakanan kita. Perbanyakkan makanan yang bersumberkan makanan yang disifatkan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Antaranya ialah :

a) Kurma
Kaya dengan pelbagai khasiat dan menjadi salah satu makanan kegemaran Rasulullah SAW. Rasulullah bersabda : "Jika salah seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, berbukalah dengan kurma kerana kurma itu barakah (berkat), jika tidak ada, berbukalah dengan air, kerana air itu bersih dan suci." (HR Abu Daud dan Tirmizi)

b) Madu Lebah
Firman Allah : "Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) dan tururlah jalan-jalan peraturan tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya padamu. Dengan itu keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warna, yang mengandungi penawar bagi manusia dari pelbagai penyakit. Sesungguhnya padanya demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir" (an-Nahl : 69)

c) Air zam-zam
Dalam peristiwa sejarah ketika Siti hajar (bonda nabi Ismail) berulang-alik di antara Safa dan Marwah mencari bantuan di tengah padang pasir Mekah yang terik untuk mendapatkan air, Allah SWT telah menerbitkan air zam-zam berhampiran kaabah yang kini dapat dinikmati oleh seluruh umat Islam di serata dunia.
Rasulullah SAW bersabda:
Air zam-zam dicipta Allah bersifat alkali. Tanpa perlu diproses dan ditambah sesuatu, ia merupakan air yang paling berkualiti, suci, bersih lagi berkhasiat dan ianya juga mengenyangkan."

d) Buat tin
Ia kaya dengan serat dan vitamin serta mineral yang memberi khasiat kepada tubuh.
Rasulullah bersabda: "Makanlah kamu semua dan makan darinya (buah tin)"
"Sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka inilah buahnya. ini kerana buah syurga tiada keraguaan" (HR abu Daud)

e) Buah zaitun
Rasulullah SAW bersabda:
"Gunakanlah sari zaitun sebagai lauk-pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati" (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berusahalah kita menjaga sumber permakanan kita dan mengambil makanan yang sumbernya baik-baik sahaja serta kita yakini kehalalannya.
Wallahualam

:: Dalam surah an-Nahl : 114 juga Allah berfirman ::
"Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata"

Habbatus Sauda' juga adalah makanan sunnah, ianya juga menjadi penawar bagi sekalian penyakit. Dalam satu Hadith Rasulullah SAW:
"Tetaplah kamu dengan Habbatus Sauda' kerana padanya ada penawar segala penyakit melainkan mati"

Ada lagi satu sumber makanan yang boleh menjadi amalan buat kita semua, iaitu Za'ffran.
Dalam kitab Perubatan Saidina Ali' Thib Al Imam Ali halaman 381:
"Sesiapa yang mengambil Za'ffran tulen Su'dun dicampurkan dengan madu, diminum sebanyak dua sudu pada setiap hari, dia dikagumi akan daya ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir"

Monday, July 6, 2009

Berwudhuk lah Dengan Sempurna


Wudhuk menurut syarak ialah menggunakan air bersih (suci lagi mensucikan) untuk membasuh anggota-anggota tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak. Wudhuk adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur'an. Perintah wajib wuduk ini turun bersama dengan perintah wajib solat.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah : 6
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki.

Sabda Rasulullah SAW:

"Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwudhuk." (Riwayat Abu Daud)

Syarat sah wudhuk ada lima:
1. Islam
2. Baligh
3.Tidak berhadas besar
4. Menggunakan air mutlak (suci lagi mensucikan)
5. Tidak ada yang menghalang kulit

Rukun Wudhuk ada enam :
1. Niat dengan bacaan
"Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah."
2.Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
3.Membasuh dua tangan sampai ke siku.
4. Mengusap sebahagian kepala dengan air
5. .Membasuh dua kaki sampai buku lali.
6.Tertib (berturutan)
.
Perkara sunat wudhuk ada 12 :
1. Diawali dengan membaca Bismillah dalam hati.
2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
3. Berkumur.
4. Menggosok gigi (bersiwak).
5. Membersihkan hidung dengan air.
6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
7. Membasuh kedua cuping telinga
8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
9. Tidakberbicara.
10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
11. Membasuh anggota wuduk sampai tiga kali.
12. Membaca doa sesudah berwuduk:
"Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan saya bersaksi bahwa Muhamad adalah hamba dan pesuruhNya. Wahai Allah jadikanlah saya termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah saya termasuk orang-orang yang suci serta jadikanlah saya termasuk golongan hamba-hambaMu yang soleh."
Perkara yang membatalkan wudhuk ada enam:
.
Perkara yang membatalkan wudhuk ada lima :
1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).
.
Rasulullah SAW bersabda :
"Dari Umar radialIahu'anhu berkata: Barang siapa berwudhuk dengan sebaik-baik wuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga ia keluar dari celah-celah kukunya".
(Riwayat Muslim)

Hadith ini menjelaskan bahawa setiap basuhan wudhuk adalah penghapus dosa dan menggugurkan dosa. Menurut Imam al-Nawawi, dosa yang dihapuskan atau digugurkan dari individu tersebut ialah dosa atau kesalahan kecil, bukannya dosa yang besar. Ini berdasarkan hadith:
"Tiada sebarang pun invidu muslim yang apabila telah masuk waktu solat yang difardhukan maka ia akan mengelokkan wudhuknya, mengelokkan khusyu'nya dan memperelokkan rukuknya melainkan sebagai kafarah kepada kesalahan atau dosa-dosa sebelum itu selama mana ia tidak melakukan dosa besar, begitulah keadaannya sepanjang masa." (Riwayat Muslim)

Bertaubat nasuhalah dan memohon rahmat dari Allah SWT, sekiranya kita ada melakukan dosa-dosa besar. Sesunguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sempurnakanlah wudhuk kita semua. Sentiasalah dalam keadaan berwuduk, agar kita sentiasa dipandu olehNya dan dengan wudhuk moga ia dapat mengawal nafsu dan diri kita dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmatnya.
Wallahualam