"Ya Allah, Jangan Kau Condongkan Kami Kepada Kesesatan Setelah Engkau Memberikan Petunjuk dan Hidayah Mu Kepada Kami"- Al-imran : 8

Pages

Bulan Ramadhan..bulan tarbiyyah untuk semua

Salamalaik.. Salam Ramadhan..

Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan nikmat umur dan nikmat sihat sehingga saat ini, 6 Ramadhan 1430H. Sedar atau pun tidak sudah hampir seminggu umat Islam di seluruh dunia menjalankan ibadat puasa. Setiap hari kalau kita lihat, semua orang akan meneruskan rutin harian masing-masing, samada sebagai pekerja, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai ibu-bapa dan pelbagai lagi tangungjawab yang digalas oleh manusia. Sama-samalah kita terus meningkatkan amal ibadat kita di Bulan Ramadhan kali ini.

Melihat kepada rutin harian ini, lagi-lagi di dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini, banyak sangat yang memberi kesan dan muhasabah kepada diri sendiri. 1 Ramadhan baru ini, saya berpeluang menyambutnya di rumah (Kuantan), dan pada pagi itu lah kami di kejutkan dengan berita pembedahan yang perlu dilakukan dengan segera ke atas bapa saudara kerana mengalami komplikasi di ususnya. Sejak itu kami berulang ke Hospital Tengku Ampuan Hajjah Afzan (HTAA) di Kuantan. Ramai sanak-saudara yang datang ke kuantan untuk menziarahi bapa saudara yang telah melalui tarbiyyah pembedahan di 1 Ramadhan, kini beliau masih lagi di ICU dan mendapat jagaan penuh oleh pihak hospital.

Berulang-alik ke hospital selama beberapa hari amat lah membuatkan saya berfikir dan memuhasabahkan diri. Allah SWT berhak memberi segala dan seluruh nikmat dunia kepada umat manusia dan hamba-hambaNya yang terpilih, tetapi Allah SWT juga berhak menarik segala nikmat yang dikurniakan hanya dengan kadar sekelip mata. Melihat situasi di hospital bermula dari tingkat 1 hingga tingkat 8, subhanallah, betapa ramainya umat manusia diuji dengan nikmat kesihatan. Rupa-rupanya di saat kita mungkin bergembira atau mungkin juga bersedih dengan segala yang kita lalui di luar, tetap ada saudara seagama dan sebangsa yang yang lebih menanggung ujian dari Alah SWT ke atas dirinya daripada kita yang mungkin alpa dengan nikmat yang Allah kurniakan selama ini.

Berpeluang masuk ke wad ICU, semakin menyebabkan diri ini pilu, ramai umat manusia yang terlantar di atas katil-katil pesakit. Badan mereka dipenuhi dengan pelbagai wayar, subhanallah, tarbiyyah Ramadhan untuk mereka. Pastinya pada Ramadhan yang lepas mungkin mereka seperti kita pada waktu ini, masih menjalankan rutin harian seperti biasa, bekerja, belajar, bersahur dan berbuka. Tetapi Allah telah uji mereka, pada saat ini Allah menguji nikmat kesenangan dan kesihatan mereka. Bagaimanakah keadaan kita pada Ramadhan yang akan datang? dimanakah kita pada saat itu?sempatkah kita merasai Ramadhan pada waktu itu? Mari kita tingkatkan amal ibadat dan menganggap inilah Ramadhan terakhir kita.

Wabak H1N1 yang kini melanda umat manusia di seluruh dunia, amatlah merisaukan kita. Apabila berada di HTAA ternyata sangat banyak kes yang telah dilaporkan dan sangat ramai yang sedang menjalani kuarantin di hospital. Tingkat 2 di HTAA adalah ICU bagi pesakit positif H1N1. Berbual dengan "nurse-nurse" di HTAA semakin menggerunkan hati, tahap kritikal rupanya di Kuantan mengenai penularan wabak ini. Benarkah wabak ini suatu bala untuk kita?
Melihat wajah emak saudara dan sepupu-sepupu yang suami serta ayah mereka terlantar kaku di wad ICU, sangatlah meruntun hati ini. Suami atau ayah tempat pergantungan dan pelindungan kita selepas Allah swt, kini terlantar, tidak boleh berbuat apa-apa. Suami atau ayah yang mengorbankan seluruh keringat mereka demi mencari rezeki yang halal buat keluarga kini terlantar, bagaimana ya perasaan mereka saat itu. Allah menguji mereka untuk menjadikan emak saudaraku serta anak-anaknya lebih cekal dan kuat pada saat ini, ya sesungguhnya mereka mampu melalui tarbiyyah ini, sebab itu Allah uji mereka. (Al-Baqarah : 286). Jika sesuatu seperti itu berlaku ke atas diriku?sesungguhnya diriku tidak mampu.

Akhirnya dengan hati yang sangat berat, pada pagi 4 Ramadhan , saya terpaksa mengambil keputusan untuk pulang juga ke Skudai, meneruskan tanggungjawab di sini. Masih tergiang kata-kata ibu, sewaktu menghantar saya ke Terminal Kuantan pada tengahari 4 Ramadhan lalu, "Kalau kita diuji pada saat ini, adakah kita benar-benar mampu hadapi ujian tersebut?".Moga Allah terus beri kekuatan bagi umat manusia yang diuji dengan pelbagai bentuk tarbiyyah Ramadhan di bulan yang penuh mulia ini. Insyaallah. Pastinya yang saya lihat dan rasa sepanjang 4 hari berpuasa ini hanya sedikit Tarbiyyah Ramadhan yang Allah turunkan untuk hamba-hambaNya. Pasti ramai lagi umat manusia di tempat lain yang diuji dengan lebih hebat lagi.

Mungkin saat ini, kita merasakan kitalah paling hebat diuji oleh Allah SWT, diuji dengan kewangan, dengan kerjaya, dengan akademik, dengan keluarga, dengan tanggungjawab, dengan perasaan dan pelbagai lagi, tetapi bangkitlah saudara seislamku, bangkitalah umat manusia, ramai lagi yang kita tidak tahu kondisi mereka yang diuji dengan lebih hebat lagi. Allah uji kita bermakna Allah sayang kita. Allah nak kita terus berusaha, terus mengadu dan menyerahkan sepenuh jiwa raga kita kepadaNYA.

Sesampainya saya di Skudai, kami berbuka puasa di Jusco. Subhanallah ramai juga umat manusia disini, membeli-belah rupanya. Lagu raya sudah dipasang, bagaimanalah umat Islam tak "excited" mempersiapkan diri dan keluarga untuk menyambut 1 Syawal? saya berbincang dengan sahabat saya ketika itu, Ramadhan ke-4 lagi sudah dipasang lagu raya, sudah dipromosikan dengan hebatnya barangan-barangan keperluan Raya, bagaimana umat Islam nak menumpukan untuk meningkatkan ibadat kepada Allah SWT? Bagaimanakah keadaan umat Islam pada saat ini, untuk menghabiskan bulan Ramadhan ini dengan rasa yang penuh bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada mereka hingga saat ini?

"Ya Allah moga engkau kuatkan hati kami untuk beramal ibadat di bulan Ramadhan ini" Sesungguhnya Allah akan menguji dan terus menguji umatnya, termasuklah insan yang sedang menulis ini.
Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

"Hidup Ini segalanya Indah, Dengki dan Dendam Kesumat Musnah, Biar Keikhlasan Berbicara di Dada Hati Luas Saujana"